IKLAN NUFFNANG

Wednesday, June 29, 2016

BANDUAN AKHIR

Antara manusia yang tahu bila dia akan mati ialah banduan akhir. Ada satu kes dinamakan sebagai banduan akhir.

Banduan akhir ialah banduan yang melakukan jenayah yang berat mengalami proses kehakiman. Kadangkala 2, 3 atau 5 tahun dan akhirnya akan dihukum dengan hukuman gantung oleh hakim.

Kalau hukuman gantung itu dibacakan pada hari Isnin, maka gantung hingga mati dilakukan oleh semua banduan akhir beragama Islam pada hari Jumaat.

Apabila seorang banduan akhir dihukum gantung sehingga mati, maka namanya di ketika itu akan menjadi banduan akhir dan biliknya akan diasingkan. Nama biliknya Sel Akhir. Katakanlah hakim jatuhkan hukuman hari Isnin, ketika itu baki kehidupan harinya ialah Selasa, Rabu dan sampai Khamis sahaja.

Waktu hakim baca, "Maka ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati yang akan dilaksanakan pada hari Jumaat ini di antara jam 6 pagi hingga jam 7 pagi." Prosedurnya mesti begitu. Kalau hukuman dibaca hari Ahad, Jumaat dijatuhkan hukuman. Kalau Rabu, maka baki kehidupannya sehari sahaja lagi.

 Orang yang namanya banduan akhir ini, selesai hakim membaca keputusan, lututnya dah tak boleh berdiri dah sebab apa tuan? Sebab dia masih boleh bernafas 3 hari sahaja. Dia hanya boleh bernafas 4 hari sahaja. Air mata sudah berlinangan sejak di mahkamah lagi. Balik ke penjara, warden akan suruh asingkan barang-barang dan mesti dipindahkan ke sel belakang sekali.

Di ketika itu, kita akan tengok bagaimana banduan akhir ini menghabiskan kehidupannya, sentiasa membaca Al Quran. Bila ustaz yang pergi ke situ, percakapan dan nasihat itu akan dipenuhi dengan tangisan air mata. "Saya banyak dosa ustaz. Saya tinggalkan tanggungjawab saya pada keluarga, ibu dan ayah saya, ustaz." Pergilah waktu mana pun, kita akan tengok banduan akhir ini berdiri di depan Allah, solat. Solatnya panjang, zikirnya banyak, banyak mengadu pada Allah swt. Kenapa? Sebab dia tahu umur dia lagi 3 hari, lagi 2 hari.

Tuan-tuan dirahmati Allah, bila sampai hari Khamis, esok Jumaat pagi dia akan digantung. Malam itu kita nak tidur lagi ke tuan-tuan? Tak tidur dah. Manusia yang tahu ajalnya, dia dah tak boleh tidur dah tuan-tuan. Sebab itu di antara rahmat Allah yang besar ialah merahsiakan kematian kita supaya kita boleh makan, kita boleh tidur, boleh bermain dan sebagainya. Kalau dia tahu lagi sebulan ajalnya, nescaya sebelum sebulan lagi dia dah tak akan bermain lagi. Tapi Allah merahsiakan kematian itu sebagai bukti dan rahmatNya kepada kita semua.

Banduan akhir ini, walaupun dibuka rahsia kematian oleh Allah, maka dia jauh lebih beruntung daripada kita semua sebab dia tau untuk bertaubat bila. Dia boleh bertaubat, Alhamdulillah. Majoriti manusia yang dibawa menghadap Allah tidak sempat bertaubat pada Allah, tak tau bila nak mati.

Maka banduan akhir ini pada malam Jumaat, Alhamdulillah dia beruntung untuk mengaku di hadapan Allah. 

"Ya Allah aku berdosa di hadapanMu ya Allah. Aku mengaku bahawa selama ini aku melakukan kesalahan kepadaMu ya Allah! Ya Allah ampunilah dosa aku ya Allah!

Maka datang daripada seluruh keikhlasan dihimpunkan di dalam hatinya menghadap Allah. Beruntung dia.

Esok pagi atau malam itu, banduan akhir ini akan diberi pilihan untuk memilih makanan yang tidak melebihi lebih kurang RM7.50. Dia diberi pilihan boleh pilih sama ada char kuey teow kah, nasi ayam kah, cucur udang kah, maka dia akan diberikan pilihan.

Tuan-tuan, banduan akhir ni nak order apa? Kebanyakan banduan akhir ini tidak lagi akan memesan apa-apa makanan lagi. Dah tak lalu makan dah sebab esok hari bila dia bangun, bukannya bangun pun malah malam itu adalah malam yang dia tak akan tidur. Selalunya kes banduan akhir ini esok dia bangun selepas dia solat subuh, hukumannya mesti di antara jam 6 hingga 7 pagi.

Maka benarlah apa yang Allah sebut, dia sendiri tak tahu bila dia akan mati. Walaupun harinya dia akan tahu tetapi minit ke berapa, saat ke berapa nyawa dia akan keluar dia tak tahu. Itu rahsia Allah. Ya benar. Dia disarungkan tali di lehernya pada jam 6.47 pagi contohnya tapi dia tak tahu saat ke berapa dia akan kehabisan nyawa.

Esok paginya, banduan akhir akan diberi peluang untuk bercakap dengan ahli keluarganya. Tuan-tuan, bagi peluang bercakap dengan ahli keluarga tak ada ungkapan akan keluar. Hanya peluk dan menangis, peluk dan menangis. Dah tak boleh bercakap dah. Nak cakap apa pun dah tak boleh. Nak cakap apa lagi? Nak suruh jaga pokok bunga yang ditanam?

Tak ada apa yang boleh dipesan ketika itu. Yang boleh keluar hanya 2 perkataan sahaja;
"Maafkan ayah...maafkan ayah."
Bila peluk isteri, "Maafkan abang, maafkan abang." Itu sahaja.
Nak kemaafan di saat-saat akhir ini. Kemudian, dia akan dibawa ke situ lalu digantung,

Allah merahsiakan kematian itu untuk saya dan kita semua agar sentiasa melakukan persiapan untuk bertemu dengan Allah. Allah merahsiakan kematian itu untuk kita semua agar kita sentiasa melakukan persiapan untuk bertemu dengan Allah.

Wallahualam

No comments :

Post a Comment