IKLAN NUFFNANG

Saturday, March 13, 2010

SEJARAH HAID

(Sedutan daripada buku 'Dilema Seorang Wanita - 7 Kaedah Penyelesaian Masalah Haid'

Haid merupakan anugerah Ilahi yang amat berharga pada seseorang wanita kerana haid menyebabkan tubuh badan wanita menjadi sihat dengan menyingkirkan darah-darah yang kotor keluar dari badan. Haid juga penentu seseorang wanita itu subur atau tidak. Haid juga dapat menentukan tahap seksual seseorang wanita. Kata ulamak, semakin lama tempoh haid seseorang wanita semakin tinggi tahap seksualnya.

Dengan mengetahui haid juga, seseorang wanita boleh menganggarkan tempoh darah nifas yang bakal keluar ketika melahirkan anak kelak dan seorang suami juga dapat mengetahui masa dan waktu yang sesuai untuk bersama isterinya. Inilah yang dikatakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai.
Haid juga merupakan ilmu yang agak rumit yang sering wanita pada hari ini abaikan. Ilmu haid adalah ilmu yang paling sukar selepas ilmu faraidh.

Sebelum mengulas lebih lanjut perihal haid, elok kiranya kita mengetahui sejarah dan asal usul bagaimana Allah swt menganugerahkan haid pada wanita. Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Adam as dan isterinya Siti Hawa berada di dalam syurga. Syurga dipenuhi dengan pelbagai nikmat yang sentiasa bertambah dan terus bertambah dari semasa ke semasa yang dikurniakan oleh Allah swt kepada hambanya yang taat pada perintahnya. Di antara pelbagai nikmat yang dikurniakan di syurga, Allah melarang pasangan suami isteri tersebut mendekati pohon khuldi. Khuldi adalah sifat yang disandarkan pada pohon tersebut yang bermaksud kekal. Buah khuldi itu adalah buah tin. Larangan Allah swt mendekati pohon tersebut bukan kerana buahnya beracun atau tidak boleh dimakan (mana mungkin buah di syurga beracun), akan tetapi sengaja Allah swt membuat peraturan di mana Allah mengharamkan Adam dan Hawa mendekati pohon tersebut apatah lagi memakan buahnya.

Dek kerana hasutan syaitan yang sentiasa bercita-cita menyesatkan manusia dengan setiap godaan dan tipu helahnya, akhirnya Adam dan Hawa terpedaya. Ketika Hawa ingin mencapai dahan khuldi, dahan tersebut patah lalu mengeluarkan sejenis cecair (umpama getah). Perbuatan mereka mengundang kemurkaan Allah swt lalu Allah swt mencampakkan kedua-dua mereka ke bumi. Terpisahlah kedua-duanya di bumi yang fana. Disebabkan dosa yang telah dilakukan ketika berada di syurga, Allah swt menciptakan darah yang mengalir keluar setiap bulan dari tubuh Hawa dan diciptakan darah tersebut pada hari Selasa dan ditakdirkan kesemua penyakit diciptakan pada hari Selasa.

(dilarang keras sama sekali untuk 'copy' mana-mana ayat dalam ruangan ini dalam apa jua bentuk. Artikel ini adalah seratus peratus hasil kerja tangan penulis blog ini dan akan diterbitkan dalam bentuk buku tidak lama lagi..insyaAllah. Mohon kerjasama daripada semua pembaca.)

1 comment :

  1. salam..apakah dalil/bukti/sandaran yang sahih terhadap penceritaan adam dan hawa di atas..?

    ReplyDelete