IKLAN NUFFNANG

Saturday, March 13, 2010

JENIS DARAH

Sedutan daripada buku 'Dilema Seorang Wanita - 7 Kaedah Penyelesaian Masalah Haid'....

Terdapat 5 jenis darah yang berkemungkinan mengalir dari tubuh badan wanita dan darah ini akan keluar pada waktu-waktu tertentu. 5 jenis darah yang tersebut adalah haid, istihadhah, nifas, tholaq dan fasad. Kesemua darah tersebut akan diterangkan satu-persatu pada bab akan datang.

Erti haid pada bahasa ialah mengalir dan pada syarak pula bermaksud darah tabi’e yang keluar dari penghujung rahim perempuan ketika sihat tubuh badannya di dalam waktu-waktu tertentu.

Yang dimaksudkan dengan darah tabi’e ialah darah yang keluar dengan sendiri bukan dengan cara lain. Contoh dengan cara lain seperti seorang wanita berumur 12 tahun dan sebelum ini pernah berhaid. Dia merupakan seorang wanita yang aktif sukan olahraga dalam acara 110 meter lari berpagar. Ketika melakukan sukan tersebut dengan melompat beberapa halangan, terdapat kesan koyakan pada farajnya lalu keluar darah dengan banyak. Darah ini kita tidak boleh hukumkan haid walaupun kelihatan seakan-akan haid dari segi warna dan jumlah yang mengalir keluar kerana darah tersebut bukan keluar dengan cara tabi’e sebaliknya disebabkan lasaknya aktiviti yang dilakukan.

Yang dimaksudkan dengan waktu-waktu tertentu adalah waktu di mana seseorang itu boleh berhaid iaitu ketika mencapai umur baligh. Kitaran haid pada seseorang wanita berbeza di antara wanita dengan wanita lain. Terdapat wanita yang haidnya bermula pada awal bulan, ada pula yang berhaid pada setiap pertengahan bulan dan ada pula yang berhaid pada penghujung bulan. Jadi, setiap wanita bulan haidnya (kitaran haid) berbeza dengan wanita yang lain.

Allah swt ada berfirman di dalam Al-Quran ketika Nabi saw ditanya mengenai haid. Firman Allah swt :

Ertinya : “ dan mereka bertanya kepada kamu wahai Muhammad mengenai haid, katakanlah ia adalah darah yang kotor. Maka hendaklah kamu menjauhi perempuan-perempuan (tinggalkan jimak) ketika mereka berhaid. Jangan kamu menghampiri mereka itu dengan jimak hingga mereka suci daripadanya. Maka apabila mereka telah suci maka datangilah mereka itu kerana jimak pada tempat yang Allah perintahkan menjauhinya pada ketika haid itu, iaitu faraj. Jangan kamu melampauinya kepada yang lainnya”.

Nabi saw juga ada bersabda :

Ertinya : Inilah suatu yang telah disuratkan oleh Allah swt atas anak-anak perempuan Adam iaitu haid. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

(dilarang keras sama sekali untuk 'copy' mana-mana ayat dalam ruangan ini dalam apa jua bentuk. Artikel ini adalah seratus peratus hasil kerja tangan penulis blog ini dan akan diterbitkan dalam bentuk buku tidak lama lagi..insyaAllah. Mohon kerjasama daripada semua pembaca.)

2 comments :

  1. Bagaimana pula dgn yg dikatakan darah "Tholaq" dan "Fasad"?

    ReplyDelete
  2. Darah fasad - darah yang keluar pada perempuan yang belum baligh. Contohnya, perempuan yang berumur 7 tahun.

    Darah Tholaq - darah yang keluar ketika perempuan hendak bersalin. Bila di 'push' sepatutnya keluar bayi tapi yang keluar adalah darah. Darah ini adalah darah Tholaq.

    Darah nifas - Darah yang keluar MENGIRINGI peranakan

    ReplyDelete